Ramai daripada kita telah terdedah dengan pelbagai pengaruh sosial media yang menekan diri untuk bekerja lebih masa atau melakukan lebih daripada 3 pekerjaan untuk mendapatkan duit lebih.
Tidak salah mencari pendapatan lebih tetapi wajarkah sehingga anda tidak dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai?
Sesetengah individu telah terbiasa mencari wang sendiri semenjak sekolah dan teruja kerana akhirnya berjaya memperoleh wang hasil penat lelah sendiri. Jadi sejak dari bangku sekolah lagi, selepas tamat peperiksaan mereka cenderung untuk mencari pekerjaan sampingan dan tidak banyak meluangkan masa bersama rakan-rakan untuk memberi ruang diri berehat. Ini merupakan senario biasa pada zaman ini kerana ramai anak muda sememangnya rajin dan digalakkan berdikari serta tidak membuang masa.
Sekiranya tidak dikawal tabiat tersebut akan mempengaruhi mereka apabila dewasa. Mereka akan lebih memilih untuk melakukan kerja lebih masa dan mengisi waktu hari minggu dengan perkara yang lebih mendatangkan wang sehinggakan tiada masa untuk bersama ibu-bapa dan adik beradik mahupun untuk diri mereka sendiri. Apabila cuti mereka akan memilih untuk berehat dan tidur kerana keletihan. Pada tengah malam pula, mereka akan mula khuatir memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk keesokan harinya sekaligus mengakibatkan kesukaran tidur malam dan kegelisahan.
Meskipun sukar kita perlu mengubah fikiran dan tabiat tersebut kerana jika ianya berterusan, kemungkinan akan mendatangkan risiko untuk pelbagai masalah kesihatan yang lain.
Elakkan daripada menekan diri sendiri kerana dikhuatiri tidak sihat untuk mental individu dalam jangka masa panjang. Pemakanan juga akan terabai dan cenderung tidak sihat kerana ketiadaan masa untuk makan makanan yang lengkap dan berzat.
Cuba secara perlahan-lahan untuk mencari pekerjaan yang lain meskipun anda tidak dibayar dalam jumlah sepertimana telah dibiasa diperoleh namun, masih membolehkan anda mempunyai waktu kerja yang sesuai serta masa untuk diluangkan masa bersama keluarga dan tersayang.
Lakukan pekerjaan sampingan yang tidak menyekat anda daripada melakukan aktiviti seharian dan hobi anda sendiri. Anda juga boleh cuba mencari maklumat dan melakukan bacaan berkenaan mengukuhkan kewangan secara bijak melalui pelbagai saluran yang ada dalam usaha membantu anda untuk menambah pendapatan dan simpanan. Mungkin daripada hobi anda seperti memasak, melukis, menjahit boleh membantu anda menjana pendapatan sampingan secara tidak lansung tanpa anda perlu bekerja terlalu drastik.